Alhamdulillah, hasrat saya untuk menulis sebuah panduan senifoto dalam Bahasa Malaysia menjadi kenyataan setelah terbinanya laman sesawang ini bermula 13 Oktober 1999. Panduan senifoto ini pada asalnya ditulis untuk kegunaan pelajar Kursus Senifoto Program Ko Korikulum Universiti Kebangsaan Malaysia tapi setelah saya merasakan kandungannya perlu disebarkan kepada masyarakat umum, maka saya telah membangunkan sebuah laman sesawang dengan menggunakan tapak web Tripod. Alamatnya http://alamsenifoto.tripod.com. Setelah hampir empat tahun menggunakan alamat tersebut saya memikirkan sudah tiba masanya menggunakan server yang bercirikan Malaysia. Justeru saya telah memindahkan semua kandungan Alam Senifoto ke server UKM tanpa mengubah kandungannya. Alam Senifoto kini hadir dengan rekabentuk baru. Mulai 15 November 2010 setelah sebelas tahun Alam Seni Foto wujud saya mengorak langkah dengan memindahkan secara berhati-hati ke laman berbayar tetapi masih menggunakan nama yang sama. Semoga dengan wujudnya Alam Senifoto ini akan memberi pilihan untuk masyarakat Malaysia khasnya dan di nusantara am yang menggunakan bahasa Melayu untuk mendapatkan ilmu fotografi yang kian berkembang setelah munculnya era digital. Menjadi harapan saya agar laman web ini digunakan sepenuhnya untuk menghubung silatulrahim. Saya mengharapkan jika anda telah mahir dan menjadi seorang yang professional, janganlah menjadikan senifoto sebagai wadah untuk digunakan sebagai menyalurkan fitnah, maksiat dan sebagainya. Jadilah seorang professional yang bermaruah dan beretika! Ini kerana senifoto boleh diibaratkan seperti pisau; "Boleh membunuh dan boleh membantu dalam kehidupan seharian kita". Desan Sentosa, 15 November 2010
Semua karya; tulisan, foto adalah milik:Abd. Raai bin Osman @RaaiMan. Kecuali jika dinyatakan sumber rujukan.
|
||||||||||||||
